Titiwangsa, 26 Julai 07
Pengarah Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN) PAS W.Persekutuan, Tuan Hj. Ishak Surin telah turun melawat Parlimen Titiwangsa bersama Setiausaha JPN W.Persekutuan, Sdr. Kamarul Ariff di Darul Ummah.
Program lawatan tersebut merupakan siri lawatan ke kawasan kawasan parlimen terutamanya yang sudah dikenalpasti ditandingi oleh PAS di W.Persekutuan. Program yang bermula pada jam 10.00 malam tersebut didahului dengan taklimat pencapaian gerakerja jentera pilihanraya parti oleh Pengarah Pilihanraya Kawasan (JPK) PAS Titiwangsa. Sdr. Hedzer Ibrahim.
Dalam amanatnya, Tuan Hj. Ishak Surin atau lebih biasa dipanggil Cikgu Sahak telah menyeru supaya petugas petugas jentera pilihanraya mula bergerak secara lebih kuat lagi dengan menyemarakkan usaha usaha gigih sehingga boleh menggerunkan musuh dan memenangi hati masyarakat.
Beliau juga berpesan supaya ahli ahli PAS melaksanakan kerja dengan mengikut panduan agama. Dengan cara ini, pertolongan Allah akan sampai dan masyarakat termasuk bukan Islam akan tertarik dengan akhlak ahli ahli PAS yang menjadi jentera parti.
Dalam sesi soal jawab, Cikgu Sahak telah menarik perhatian hadirin kepada satu fakta yang menyatakan bahawa kaum Tionghua sudah mula tidak menyetujui cara Barisan Nasional mentadbir negara. Mereka sekaligus meletakkan harapan supaya PAS sebagai parti ke dua terbesar dapat menggantikan Umno dan Barisan Nasional sebagai parti pilihan.
Turut hadir pada pertemuan tersebut adalah Dr. Lo’ Lo’ Hj. Ghazali, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap Ketua Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa dan Ustaz Ahmad Ismail, Setiausaha Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan.
Diakhir program, Cikgu Sahak selaku Pengarah JPN W.Persekutuan telah merasmikan Bilik Gerakan JPK Titiwangsa.